Lisa Surihani Berjaya Ubah Gaya Hidup Yusry
PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani berjaya mengubah gaya hidup dan menguruskan masa suaminya iaitu pengarah filem dan penyanyi Yusry Abdul Halim setelah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga. Lisa, 27, berkata, dia berjaya mengubah cara hidup suaminya itu agar menjadi lebih baik dan terurus.
"Setakat ini Alhamdulillahlah, kebanyakannya dia mengikut masa dan cara saya. Macam pada bulan puasa, kalau dulu dia tidak bangun sahur kerana dia lebih suka bersahur sebelum tidur.
"Tapi sekarang dia perlu ikut cara saya dengan tidur awal dan bangun untuk bersahur, kerana bagi saya masa berpuasa lebih panjang apabila bersahur," katanya ketika ditemui pada sidang media Madagascar 3:Europe's Most Wanted versi Bahasa Malaysia di sini, Selasa. Tambah Lisa, dia juga kini menjaga dan menguruskan jadual harian Yusry bagi memudahkannya merancang aktiviti terluang. "Kalau dulu kami letak jadual masing-masing pada papan tulis di rumah, tapi bila di luar masing-masing lupa, jadi saya ada aplikasi di telefon yang boleh isi jadual dia dan saya sekali. "Sejak itu saya terus uruskan jadual kerja dia," katanya.
Bukan itu sahaja, tambah Lisa, suaminya juga sudah boleh menerima makanan pedas. "Kalau dulu dia memang tidak boleh makan makanan yang pedas tapi sekarang dia sudah boleh terima. Dia paling suka kalau saya masak ayam pedas," katanya. Bercerita pengalaman berpuasa sebelum ini Lisa berkata, dia pernah mengalami sakit perut akibat terlalu banyak makan cili. "Dua tahun lepas saya mengalami sakit perut yang teruk kerana saya makan cili setiap kali berbuka puasa. "Saya suka makan cili dengan menggigit sedikit-sedikit cili tersebut sehingga habis tapi selepas sakit perut saya berhenti daripada makan cili seperti itu. "Namun tabiat makan makanan pedas memang tidak boleh dielakkan. Kalau tidak saya tidak akan berselera," katanya.
Tiada ulasan
Catat Ulasan