Jaclyn Victor menang Ikon Malaysia
Oleh Zubir Mohd Yunus
www.bharian.com.my
MENEPATI ramalan banyak pihak, bintang Malaysia Idol (MI) pertama, Jaclyn Victor (Jac), Sabtu lalu dinobatkan sebagai Ikon Malaysia (kategori solo) dalam pertandingan akhir Pentas Ikon Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sekali gus melayakkannya mewakili Malaysia ke Pentas Ikon Asean yang dijadualkan berlangsung di tempat sama pada 12 Ogos ini.
Mengiringi kemenangan Jac ialah OAG (Old Automatic Garbage) yang diangkat sebagai Ikon Malaysia (kategori berkumpulan). Jac dan OAG membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai AS$2,500 (RM8,750). Mereka akan berentap bersama peserta yang dinobatkan sebagai Ikon Filipina dan Ikon Indonesia untuk bergelar Ikon Asean seterusnya menerima hadiah wang tunai AS$25,000 (RM87,500).
Terdahulu, tirai Pentas Ikon Malaysia dibuka dengan gimik pengacaranya, Sarimah Ibrahim yang muncul di pentas meniru gaya persembahan Ratu Gelek, Mas Idayu. Gelekan dan cara Sarimah memegang mikrofon memanaskan dewan PICC yang memuatkan hampir 2,000 penonton.
Semua 19 calon artis solo dan berkumpulan yang membawa cabaran di Pentas Ikon Malaysia diperkenalkan kepada penonton. Mereka ialah Adam Akademi Fantasia 2 (AF2), Dayang Nurfaizah, Shanon Shah, Ezlynn, Reshmonu, Farah AF2, Daniel, Jaclyn Victor, Dina, Mawi AF3, Jinbara, OAG, Mirwana, Def Gab C, Gerhana Ska Cinta, Amuk, Flop Poppy, Disagree dan May.
Memulakan persembahan ialah Flop Poppy. Namun, sedikit mengecewakan apabila vokal penyanyinya, Andy kurang menyengat ketika mendendangkan medley Dewi dan Ye Ke. Suara Andy seakan tenggelam dan kurang jelas apabila vokal dan muzik diadun bersama. Mungkin mempersembahkan lagu yang kurang diminati ramai, sambutan penonton agak hambar.
Apabila muncul pada sesi kedua persembahan, sesuatu yang segar diharapkan daripada Flop Poppy, namun keadaan yang berlaku adalah sebaliknya apabila dendangan lagu Jangan Begitu dan Sembunyi seolah-olah gagal mencuri perhatian penonton. Secara keseluruhan, persembahan Flop Poppy seperti kehilangan identiti walhal mereka adalah kumpulan muzik yang begitu diminati sebelum ini.
Sebaik Sarimah mengumumkan Jac adalah artis berikutnya, suasana dewan semakin gamat memberi petanda awal sesuatu yang luar biasa akan dipersembahkan penyanyi itu. Dia memulakan persembahan menerusi lagu Jangan Tinggal Daku. Jac membawakan lagu itu dalam irama R&B. Seperti dijangka, Jac memberikan persembahan memukau!
Diikuti selepas itu ialah lagu yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad, One Thousand Million Smiles. Menjadi identiti Jac, dia menyanyi dengan mikrofon di dahi, namun vokalnya terus ‘garang’ menguasai setiap ruang pentas. Mungkin bersama lagu itu, Jac memperoleh markah tinggi daripada pihak juri.
Jac muncul lagi sebagai artis pertama pada segmen kedua persembahan. Dia terus gemilang apabila mendendangkan lagu yang mengangkat namanya sebelum ini, Gemilang dan lagu baru, Impian. Menyusul selepas itu ialah Cepat-Cepat lagu yang dipetik daripada album terbarunya.
Jac pula tidak menggunakan khidmat penari latar sekalipun mendendangkan lagu berirama rancak, sebaliknya terus memperlihatkan kemampuan vokalnya. Sebaik saja dia menamatkan persembahan, sudah berdetik dalam hati, mungkin Jac akan membawa cabaran Malaysia di Pentas Ikon Asean!
Radhi dan kumpulannya, OAG menghangatkan lagi pentas dengan aksi agresif Radhi ketika mendendangkan lagu Akustatik. Ketika di awal persembahannya, mikrofon tidak berfungsi, suatu keadaan yang tidak seharusnya berlaku dalam satu produksi besar kendalian Astro. Namun, Radhi tenang seterusnya mendendangkan lagu Permaisuri.
OAG sekali lagi muncul di pentas membawakan lagu Generasiku dan Merdeka. Radhi terus agresif, berlari dan melompat di segenap ruang pentas, namun tetap memelihara vokalnya untuk terus konsisten.
Mengambil ruang pentas selepas itu ialah Dayang Nurfaizah. Dayang adalah saingan Jac paling hampir. Vokalnya memukau ketika mendendangkan lagu barunya, Tiba-Tiba. Pun begitu, lagu berkenaan begitu asing di pendengaran peminat, namun kerana vokalnya, keadaan itu tidak dihiraukan penonton.
Dayang semakin bertenaga menerusi segmen kedua ketika mengalunkan lagu Lagenda yang pernah dinyanyikan Sheila Majid. Ini diikuti Jeritan Batinku, sekali gus mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton.
Def Gab C mengambil tempat selepas itu mendendangkan lagu Marilah Maria, Ibu Kota Cinta dan Cinta Sakti secara medley. Lebih menarik, apabila Cinta Sakti diberi nafas raggae. Namun, aksi pemain gitarnya menjelirkan lidah pada gitar tidak seharusnya berlaku. Lagu Merah yang dipersembahkan pada segmen kedua, tidak mengecewakan.
Mawi harus perbaiki mutu vokal
RAJA SMS, Mawi memulakan persembahan segmen pertamanya dengan gimik silap mata. Dia menyanyikan lagu Salam Mesra dan La Aube. Ternyata persembahan Mawi sangat menghiburkan, dia semakin matang, namun vokalnya harus diperbaiki lagi, pun begitu dia tetap menerima tepukan gemuruh daripada kelab peminatnya yang memenuhi ruang depan pentas.
Mawi muncul pada segmen kedua dengan lagu yang menguji vokalnya, Kepadamu Kekasih apabila lagu yang dipopularkan M Nasir, Hattan dan Jamal Abdillah itu dinyanyikannya secara solo. Ketika mendendangkan lagu Kian, Mawi seolah-olah menjayakan sebuah konsert apabila peminat menyanyikan sebaris lagu berkenaan. Dia mengakhiri persembahan dengan lagu Gadis Ayu. Tarian Mawi hebat persis John Travolta!
Persembahan selingan diserikan dengan kemunculan istimewa David Arumugam (Alleycats). Sekalipun terus dimamah usia, vokal David masih seperti dulu ketika mengalunkan lagu Sampaikan Salam dan Hingga Akhir Nanti. Kedengaran seperti sedang mendengar cakera padat!
Pentas Ikon Malaysia dianjurkan dengan kerjasama Astro Ria, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), radio Era dan Ikon Media Group. Sistem pemarkahannya berdasarkan 70 markah juri profesional terdiri daripada Ramli MS selaku Ketua Juri, Mac Chew dan Jenny Chin, selain 30 markah undian peminat menerusi SMS (Khidmat Pesanan Ringkas).
Pun begitu, Pentas Ikon Asean pada 12 Ogos ini menggunakan 100 peratus markah daripada juri profesional dan tiada lagi undian SMS peminat.
Komen: Jaclyn Victor
“SAYA sudah membuatkan yang terbaik dan tiba masanya saya mengucapkan terima kasih kepada juri yang memberi kepercayaan. Begitu produksi Astro yang bertungkus lumus memastikan Pentas Ikon Malaysia berjaya direalisasikan. Kepada Dayang, saya anggap dia benar-benar memberi cabaran kepada saya.
Saya rasa mungkin Dayang akan menang memandangkan persembahannya begitu bertenaga. Tapi, nampaknya peluang memihak kepada saya. Justeru, saya nak buat yang lebih baik di Pentas Ikon Asea untuk membuktikan kepada negara luar, bukan mereka saja ada artis yang bagus, kita pun boleh beri saingan kepada mereka. Sekiranya tidak menang, sekurang-kurangnya kita sudah memberi cabaran kepada artis mereka. Memanglah, kalau boleh saya nak bawa pulang trofi Ikon Asean itu...”
Radhi OAG
“SELEPAS kemenangan ini saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana OAG akhirnya berjaya menjadi Ikon Malaysia. Sebagai sebuah kumpulan yang akan mewakili Malaysia di pentas Asean, saya akan memastikan pemilihan kami tidak akan memalukan negara. Apa yang saya harapkan daripada peminat adalah sokongan berterusan. Sebelum ini OAG memang berhasrat untuk mewakili Malaysia, jadi kami sudah membuktikannya. Apabila sudah memperoleh peluang ini, kami akan memberikan yang lebih baik di Pentas Ikon Asean pula kerana kami sedar saingannya akan menjadi lebih sengit.”
Ramli MS (Ketua Juri)
“KELEBIHAN yang membawa kemenangan kepada OAG kerana identiti muzik mereka konsisten. Mereka banyak bekerja membuat persembahan sebagai satu kumpulan. Namun, persembahan agresif yang ditonjolkan OAG mungkin nampak sedikit kasar. Tapi, bagi saya ada kumpulan dari Barat yang lebih teruk daripada itu. OAG berdarah muda, muzik mereka pun muda. Bagi saya, antara Jac dan Dayang Nurfaizah, kedua-duanya memang bagus ketika mereka menjayakan persembahan malam itu. Persembahan Mawi juga menarik. Di sekolah pun kita ada nombor satu, nombor dua. Mana-mana pertandingan pun ada tempat pertama, tempat kedua, begitu juga dalam pertandingan seperti Ikon Malaysia ini. Jadi, masing-masing ada kelebihan.”
Dayang Nurfaizah
“SESIAPAPUN yang menang, saya akui kehebatannya. Hari ini Jac sudah membuktikan kemampuannya. Nak kata kecewa tu, tak adalah kerana sudah menjadi adat dalam apa-apa pertandingan. Pun begitu, saya akui ketika menjayakan persembahan pada malam itu, saya ada melakukan kesilapan, tapi sudah menjadi kelaziman dalam setiap pertandingan, mana ada yang sempurna. Yang penting, saya berpuas hati dengan persembahan pada malam itu. Ikon Malaysia memperlihatkan Jac sebagai juara, tahniah buat dirinya. Mudah-mudahan Jac akan berjaya membawa harapan Malaysia di Pentas Ikon Asean pula.”
Mawi
“APA yang saya persembahkan pada malam itu adalah atas kehendak peminat yang memilih saya menyertai peringkat akhir Pentas Ikon Malaysia secara SMS atau ‘wildcard’. Kalau peminat tak undi, saya pun tak ke peringkat akhir. Justeru, saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi kerana saya akui, Jac mempunyai kelebihan untuk dinobatkan sebagai juara, sekali gus mewakili Malaysia di peringkat Asean. Jac memiliki vokal yang baik, jadi dia memang layak. Bukan rezeki saya, tak mengapalah.”
Galeri Gambar Jaclyn Victor
Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe
Tags:
Tiada ulasan
Catat Ulasan