Selasa, Jun 05, 2007

Aziz, Vee sah bercerai



Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

mriduwan@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Sah. Pengarah filem terkenal, Aziz M Osman, 45, sudah menceraikan isterinya, pelakon Nur Aliah Lee Abdullah atau Vee, 33, dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, minggu lalu.
Selepas memeterai ikatan perkahwinan selama 15 tahun, akhirnya Aziz yang juga Pengarah Urusan Ace Motion Pictures tidak lagi tinggal sebumbung dengan Nur Aliah.
Pengesahan lafaz cerai kali kedua itu diputuskan Hakim Syarie Ghazali Ahmad, sekali gus menjawab desas-desus mengenai pergolakan rumah tangga pasangan itu, bulan lalu.

Menurut sumber, Ghazali dalam penghakimannya sebelum ini memutuskan lafaz cerai kali pertama dibuat Aziz terhadap Nur Aliah pada 18 Mac lalu, kira-kira jam 10 malam di rumah mereka di Damansara, dekat sini, adalah tidak sah.

Ini kerana lafaz cerai pertama terhadap responden itu dibuat di luar dan tanpa izin mahkamah.

Aziz kemudian memfailkan pendaftaran perceraian dengan isterinya pada 15 Mei lalu dan mahkamah menetapkan 28 Mei lalu untuk pengesahan lafaz cerai kedua.

Sumber itu berkata, Aziz melafazkan cerai talak satu terhadap Nur Aliah di hadapan Ghazali pada 28 Mei, namun tiada sebarang sebab dinyatakan dalam afidavit perceraian yang difailkan itu.

Aziz memfailkan permohonan cerai itu melalui tetuan Amri & Associate mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor.

Difahamkan, kes itu sudah selesai dan Aziz dan Nur Aliah kini hanya menunggu sebarang perintah selanjutnya daripada mahkamah, termasuk berhubung soal pembayaran nafkah edah dan nafkah anak.
Keretakan rumah tangga Aziz dengan Nur Aliah hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, termasuk laporan sebuah akhbar tabloid mendakwa Aziz dan Vee bukan lagi pasangan suami isteri atau sudah bercerai.

Pasangan itu berkahwin pada 19 Januari 1992 dan dikurniakan empat anak, Puteri Asyiqin, 14, Putera Nur Iman, 12, Puteri Nur Aisya, 9, dan Puteri Nur Ain, 6.
Aziz turut mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinan pertamanya iaitu Puteri Nurul Fatehah, 19 tahun.

Dalam industri perfileman, Aziz yang masih aktif pernah dianugerahkan Pengarah Terbaik, Anugerah Skrin TV3 menerusi filem Baginda.

Setakat ini, dia mengarah lebih 100 drama dan 23 filem, termasuk siri Senario yang mendapat sambutan hangat.

Nur Aliah pula terkenal menerusi lakonan dalam dalam filem Idola (2002), Senario Lagi (2000), Puteri Impian 2 (1998), Puteri Impian (1997) dan XX Ray (1992) selain pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Puteri Impian) Anugerah Skrin/Bintang Popular TV3 97/98.



Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe

1 ulasan:

  1. Manusia.. tak pernah puas dengan apa yang ada..

    BalasPadam