Header Ads

TERKINI

Shawal kecewa tersingkir dari AF



Shawal rasa nak menjerit bila tersingkir
Oleh WAHIDA ASRANI
www.mstar.com.my


Tinggal satu tapak saja lagi untuk Mohd Shawal Roslan atau lebih dikenali dengan panggilan Shawal melangkah ke peringkat akhir Akademi Fantasia musim kelima (AF5) yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Sabtu ini.

Namun, impian jejaka berusia 23 tahun ini hancur lebur apabila dia menjadi peserta terakhir yang disingkirkan daripada program realiti popular itu Sabtu lalu dan sekaligus melenyapkan harapannya untuk mara ke pusingan akhir itu dan berpeluang untuk merangkul gelaran juara AF5.

"Saya sangat-sangat kecewa. Bayangkan selangkah saja lagi untuk saya ke final. Hari tu rasa macam nak menjerit ada, nak menangis pun ada.

Shawal amat kecewa gagal ke peringkat akhir (Foto The Star oleh M. Azhar Arif)
"Tapi nak buat macam mana, rezeki saya sampai di situ saja," ujar Shawal ketika ditemui pada sidang akhbar di pejabat Astro, semalam.

Shawal yang membawakan lagu Copacabana pada malam itu gagal meraih undian penonton dan terpaksa akur dengan keputusan penyingkiran itu apabila dia menerima undian terendah berbanding lima lagi rakannya yang berjaya ke peringkat akhir AF5 iaitu Candra Clement, 18 (Candy, Sabah); Norsyarmila Jiri, 19 (Mila, Pulau Pinang); Nur Haliza Helmi, 21 (Heliza, Kuala Terengganu); Ebi Kornelis@Firdaus Yamal, 23 (Ebi, Kota Kinabalu) dan Muhammad Nur Aswad Jaafar, 22 (Aswad, Pulau Pinang).

Akui penyingkirannya berpunca daripada kesilapan sendiri, kata Shawal, dia juga menafikan pengecualian Aswad daripada membuat persembahan untuk lagu pembuka tirai serta lagu bonus telah menimbulkan rasa tidak puas hati apabila dirinya yang tersingkir pada malam itu.

"Tidak timbul isu tidak adil di sini. Inilah Akademi Fantasia. Apa saja kejutan, kami kena terima. Ini adalah rezeki masing-masing.

"Saya sudah dapat rasakan saya mungkin akan terkeluar kerana pembawaan lagu saya pada konsert itu tidak berapa bagus, lebih-lebih lagi lagu Inggeris.

"Tapi saya bangga kerana saya berani juga cuba bawa lagu Inggeris walaupun mula-mula dapat lagu itu agak sukar juga nak sebut perkataan-perkataan tersebut," kata Shawal yang akan meneruskan kerjaya seninya yang akan diaturkan oleh Maestro.

Ditanya pendapatnya sendiri siapakah yang layak digelar juara AF5, jejaka tinggi lampai ini tidak menafikan kemungkinan salah seorang peserta wanita boleh dinobatkan sebagai juara untuk tahun ini.

"Semuanya sukar diramalkan. Ada kemungkinan juga peserta wanita yang jadi juara sebab ada tiga finalis wanita. Tetapi, apa yang saya boleh katakan setiap finalis ada kekuatan tersendiri.

"Sebagai contoh, Aswad memang bagus kalau menyanyi lagu slow rock dan Ebi pula jenis yang selamba, apa saja lagu dia akan cuba nyanyikan dengan baik.

"Saya hanya ingin ucapkan 'good luck' buat mereka kerana apapun, ini terletak pada rezeki masing-

Shawal akui sudah mempunyai 'teman rapat' (Foto The Star oleh M. Azhar Arif)
masing," jelas Shawal yang mula mencuba nasib menyertai ujibakat AF sejak musim kedua lagi.

Akui ada "teman rapat"

Ketika berada di dalam akademi, Shawal pernah dikaitkan dengan seorang peserta wanita yang juga tersingkir awal, iaitu Noni.

Mengulas mengenai hal ini, Shawal akui, hubungannya dengan Noni memang rapat berbanding peserta wanita lain.

"Memang kami agak rapat dan kami sering berkongsi cerita dan pendapat. Dia seorang yang kelakar dan saya memang amat menyenanginya.

"Tetapi, tidak lebih sebagai seorang kawan," ujar Shawal tersenyum.

Sambil membuat pengakuan dia sememangnya sudah mempunyai "teman rapat" sebelum menyertai AF5 lagi, Shawal secara ringkas berkata, 'teman'nya itu memang memahami minat mendalam Shawal terhadap bidang seni ini.

Dia juga merasakan tidak timbul isu cemburu lebih-lebih lagi ekoran dirinya dikaitkan dengan Noni.

"Saya rasa dia faham situasi saya. Di dalam akademi, kami semua sudah anggap setiap peserta seperti sebuah keluarga," kata Shawal ringkas sambil enggan mendedahkan dengan lebih lanjut tentang 'teman rapat'nya itu.

Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe

Tiada ulasan