Dafi tersingkir konsert AF kelapan
Enam pelajar masih bertahan di AF5
Oleh ZIEMAN
mstar.com.my
PENYINGKIRAN Dafi, pelajar lelaki yang paling 'jambu' dalam Akademi Fantasia musim kelima (AF 5) adalah kejutan konsert kelapan malam minggu lepas. Dafi merupakan antara pelajar paling popular musim ini ditambah dengan sokongan padu yang diterimanya dari beberapa pihak dalam industri hiburan.
Namun Dafi yang diiringi oleh penari latar Cikgu Raimee, Cikgu Corrie dan Riot Kool terpaksa menerima keputusan yang biasiswa untuknya terhenti setakat ini saja.Antara percaya dengan tidak, Dafi cuma menang sorak di dalam Dewan Sivik, MBPJ. Dafi juga seakan terkena badi lagu yang dinyanyikannya iaitu It's Gonna Be Me oleh kumpulan N'Sync.
Dafi yang merupakan pelajar pertama memulakan persembahannya pada konsert minggu lepas. Walaupun dia telah menunjukkan peningkatan ketara dari segi mutu tarian dan suara, Dafi tidak berjaya juga mengutip sebarang lampu biru dari pengkritik tetap Hattan, Fauziah Latiff dan Ogy Ahmad Daud begitu juga dengan juri jemputan, penulis lirik Loloq.
Selain Dafi, enam pelajar lain telah menunjukkan persembahan yang cukup mantap dan membanggakan sehinggakan empat daripada mereka menerima empat lampu biru dari pihak juri iaitu Heliza, Mila, Candy dan Aswad.
Mila telah diiringi oleh kumpulan Jari Jemari di dalam lagu, Aku Takkan Bersuara, yang dipopularkan oleh Nike Ardilla. Persembahan vokal Mila dan penghayatannya dalam lagu ini sudah cukup memberangsangkan. Ogy cukup terhibur dengan persembahan Mila dan memberi komen..."I hope to see you in the finals".
Mila, antara pelajar yang paling cemerlang malam itu, telah diberikan empat lampu biru oleh kesemua juri profesional.
Ebi yang berimejkan rambut David Arumugam telah menyampaikan lagu Alleycats Kisah Kau Dan Aku. Ebi berjaya membawa lagu itu dengan caranya tersendiri dan membuat lagu itu menjadi miliknya, kata Loloq. Ebi mendapat dua lampu biru.
Bagi Candy pula, lagu kabaret Lila Downs yang bertajuk Perhaps Perhaps Perhaps berjaya menghidupkan suasana kabaret di dalam dewan, tambahan pula dengan bantuan pelakon Safura dengan imej Rokiah Ronggengnya, penari latar dan tiga orang penonton yang dipilih untuk turut sama menjayakan acara ini. Seperti selalu, suara merdu Candy membuat ramai terpesona dengan persembahannya dan seperti diduga, Candy juga mendapat empat lampu biru.
Lagu Shawal Kaulah Segalanya (penyanyi asal Hazrul Nizam) kurang menyengat dan tidak berjaya dibawa sepenuhnya. Walaupun gimik membawa pengarah Prof Razak Mohaideen ke atas pentas untuk 'shoot' babak ini berjaya, Shawal tidak mampu memberi impak yang diharapkan untuk lagu ini.
Satu-satunya pelajar bertudung musim ini Heliza berjaya memberi kejutan kerana mampu menunjukkan satu perubahan positif askhirnya. Lagu Kesal Ella begitu bertenaga sekali disampaikan oleh Heliza dengan attitude dan vokal yang mantap. Busana yang dipakainya juga membantu membuat persembahan Muslimah Rock ini tampil lebih cantik dan kemas
Jika selama ini Heliza selalu disebut sebagai klon Datuk Siti Nurhaliza, ternyata Heliza berjaya melenyapkan imej itu untuk konsert ini. Malah Loloq begitu bangga dengan corak persembahan Heliza dan menyifatkan apa yang ditunjukkan adalah 'rock suci'. Perubahan drastik dan tenaga baru yang belum pernah ditunjukkan oleh Heliza sebelum ini melayakkan Heliza mendapat 4 lampu biru sebulat suara.
Pelajar terakhir konsert tersebut, Aswad dari Bayan Lepas Pulau Pinang dengan taglinenya 'Line Clear' juga berjaya membuka mata ramai penyokongnya tentang bakat terpendamnya selama ini.
Kali ini, pemuda yang sering bersifat rendah diri ini telah membawa lagu Aris Ariwatan yang bertajuk Korban Cinta dengan penuh perasaan. Kesedaran Aswad di saat-saat akhir konsert AF banyak membantu dia untuk mengutip SMS dari penyokong-penyokong baru. Aswad tampil lebih bergaya tanpa head band dan membuktikan yang dia sudah berjaya mengatasi sikap rendah dirinya yang menebal selama ini.
Saat yang paling membanggakan bagi Aswad bila penyanyi asal lagu ini, Aris Ariwatan berdiri memberi tepukan kepadanya diikuti dengan komen positif dan empat lampu biru oleh kesemua juri.
Kesemua pelajar AF juga telah memberi dua persembahan bonus yang bertenaga dalam Joget Lambak, lagu baru Adam AF2 dan Wajah Rahsia Hati (Ogy Ahmad Daud) oleh semua pelajar lelaki.
Konsert AF5 kelapan ini adalah yang paling mantap dan menghiburkan setakat ini. Aznil juga telah mengumumkan tiada AF MASUK untuk musim ini disambut dengan sorakan dari penonton.
Gimik yang disediakan untuk kali ini juga dianggap berjaya menghidupkan suasana dan kemeriahan perjalanan konsert ini.
Namun, seperkara yang agak pelik ketika keputusan diumumkan bila Aznil terus ke lensa kamera untuk menunjukkan apa yang tertera di dalam kad yang ada di tangannya. Kenapa begitu. Adakah pihak Astro takut pengundi dan penyokong Dafi tidak percaya dengan keputusan itu seperti yang terjadi di minggu sebelumnya ketika Aizat terkeluar?
Seperkara lagi, perlukah Aznil mengumumkan 'persaraan'nya di AF ketika konsert ini?Walaupun ramai yang akan merindui kehilangannya, rasanya lebih praktikal jika pengumuman ini dilakukan pada konsert akhir saja.
Hanya tinggal satu minggu lagi sebelum nama-nama pelajar ke final akan diketahui. Alangkah moleknya kalau kesemua enam pelajar yang tinggal kini terus diserap ke final. Ini adalah kerana prestasi kesemua mereka agak sama setanding sekarang.
Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe
Tags:
Tiada ulasan
Catat Ulasan