Header Ads

TERKINI

Mawi pilih Dekna ?



Mawi pilih Dekna untuk persembahan Hari Ibu
Oleh RADIN SRI GHAZALI
sumber:mstar online

RAMAI yang sudah tahu penyanyi paling popular Mawi atau Asmawi Ani sudah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dalam Mawi World Sdn Bhd.

Sempena dengan sambutan Hari Ibu 13 Mei nanti, Mawi bersama-sama syarikatnya akan mengadakan satu majlis makan tengah hari bersama-sama golongan ibu di Palace of The Golden Horses.



Malah ini merupakan anjuran pertama Mawi World Sdn Bhd dalam mengelolakan majlis sebesar ini.

Langkah yang diambil oleh Mawi seperti menjejaki usaha Datuk Siti Nurhaliza ketika menubuhkan Siti Nurhaliza Productions (SNP) dan menganjurkan majlis-majlis seperti ini.

"Saya tidak mengikut sesiapa dalam mengembangkan syarikat saya. Tetapi saya merasakan bahawa inilah masa yang sesuai untuk syarikat saya mengelolakan event seperti ini kerana saya pun masih mempelajari selok belok dunia perniagaan," ujar penyanyi berusia 26 tahun ini di sidang akhbar Petang Berkilauan Habib Bersama Mawi dan Ibu-Ibu bertempat di Palace of the Golden Horses baru-baru ini.

Dalam kesibukan jadual kerja Mawi sebagai seorang penyanyi, ramai tertanya-tanya bagaimanakah kemampuan penyanyi yang berasal dari Johor itu menguruskan perniagaannya itu.

"Saya mempunyai seorang sahabat yang membantu menguruskan perniagaan saya. Dia bertanggungjawab melakukan segala hal-hal pentadbiran serta pengurusan untuk Mawi World Sdn Bhd.

"Apa jua masalah yang dihadapi, dia akan menyelesaikan dan memberitahu saya mengenainya," ujar Mawi yang enggan memberi informasi terperinci mengenai 'sahabat' yang dikatakan bertanggungjawab menggerakkan syarikat tersebut.

"Saya sudah berkenalan dengan sahabat ini sejak awal pembabitan saya dalam bidang hiburan ini. Saya amat mempercayai dia dalam menguruskan syarikat saya," ujarnya lagi.

Ketika ditanya jika Mawi tahu secara terperinci tindak tanduk sahabatnya dalam menguruskan perniagaannya, dia menjawab, "Saya sentiasa mengawasi perkembangan syarikat saya. Saya tidak melepaskan tanggungjawab bulat-bulat begitu sahaja."

Selain daripada itu, pihak pengurusan Mawi yakni Maestro Talent Management turut terbabit dengan pengelolaan mana-mana majlis anjuran Mawi World Sdn Bhd.

"Memandangkan kami adalah pengurus Mawi, segala aktiviti yang dingin dianjurkan oleh Mawi World Sdn Bhd haruslah melalui pihak kami," ujar Freddie Fernandez selaku Ketua Operasi Maestro Talent Management.

Ketika ditanya jika pihaknya turut memperolehi pulangan atau imbuhan daripada pendapatan Mawi World Sdn Bhd, Freddie menjawab, "Adalah sikit-sikit sahaja."

Hari Ibu bersama Mawi

Jika Minggu Setiausaha, Mawi menjadi hak eksklusif kepada sebuah hotel sahaja, kini Mawi terbuka menerima mana-mana lamaran persembahan sempena Hari Ibu nanti.

"Memandangkan Mawi antara penyanyi yang in demand kini, kami tidak mahu menghampakan sebarang tawaran dari mana-mana pihak yang inginkan khidmat dari Mawi.

"Asalkan persembahan tersebut tidak bercanggah dengan jadual kerjanya," ujar Freddie mengenai polisi pihaknya sempena sambutan Hari Ibu.

Bagi Mawi pula, dia sudahpun merangka persembahannya sempena Petang Berkilauan Habib Bersama Mawi dan Ibu-Ibu di Palace nanti.

"Saya akan menyanyikan beberapa buah lagu yang bertemakan ibu seperti Untukmu Ibu. Selain daripada itu, saya akan lakukan pertunjukan silap mata sebagai acara selingan untuk persembahan pada petang tersebut," ujarnya yang bakal menyanyikan sepuluh buah lagu dalam masa satu jam nanti.

Peserta Akademi Fantasia 5 yang baru sahaja disingkirkan, Dekna turut dijemput sebagai artis jemputan pada petang tersebut.

"Kami memilih Dekna kerana dia mempunayi bakat menyanyi. Malah, saya turut menyukai perangainya yang agak rock dan selamba," ujar Mawi yang bakal berduet bersama peserta dari Pulau Pinang itu menerusi lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta.

Gandingan bersama Dekna turut merupakan gandingan pertama bersama-sama seorang perempuan menerusi lagu ciptaan Loloq dan M Nasir itu.

Harga meja-meja adalah daripada RM1500 sehingga RM5000. Mereka yang berminat boleh menghubungi Hany (012-3023730), Zana (012-2881108) dan Jue (017-3114765) untuk melakukan tempahan.

Tidak gusar Aduh Saliha ditundakan

Seperti biasa, soalan yang kerap diajukan kepada Mawi sejak kebelakangan ini, 'Siapakah Saliha?' dalam filem Aduh Saliha.

"Saya tidak tahu siapa heroin filem ini. Masih belum ditemui lagi," ujar Mawi selaku hero filem yang sudah lama digembar gemburkan namun masih tidak menjalankan penggambarnnya lagi.

Nama-nama pelakon Awal Ashaari serta Erra Fazira yang dikatakan antara mereka yang bakal berlakon dalam filem ini juga belum pasti akan terbabit sama dalam filem arahan M. Nasir itu.

Mawi sendiri bersedia menerima sebarang kemungkinan termasuk penundaan produksi filem tersebut.

"Saya tidak gusar mahupun cuak walaupun ianya ditundakan ataupun dibatalkan. Saya tahu banyak di antara kami sibuk dengan jadual kerja masing-masing.

"Kalau ye pun perkara begini berlaku, saya hanya mampu menerima hakikatnya," tegas Mawi lagi.

Foto The Star oleh Norafifi Ehsan



Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe suscribe

Tiada ulasan