Header Ads

TERKINI

Siapa Juara Gangstarz Malam Esok?



Glamor: Misi rebut AS$100,000
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

MEREKA membawa harapan yang sama iaitu memburu cita-cita untuk menyandang gelaran juara pertama program realiti pencarian vokal berkumpulan, Gang Starz.

Empat kumpulan - dua daripadanya mewakili Malaysia manakala dua kumpulan lagi membawa nama Indonesia akan mengakhiri perjuangan mereka di Stadium Malawati, Shah Alam, esok.

Malaysia menyandarkan harapan kepada Infinatez dan Flava, manakala Indonesia pastinya berbangga dengan pencapaian besar yang dicipta The Lima dan Mendua.

Bermula empat bulan lalu, empat finalis ini bersama 10 kumpulan vokal lain daripada tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura cuba menagih perhatian masyarakat dan juri profesional untuk menilai bakat mereka.

Perjalanan panjang, juga penuh berliku menyaksikan bukan hanya keringat malah air mata turut tumpah demi memburu impian untuk bergelar anak seni.

Berdikit-dikit keyakinan dibina, hari ini empat kumpulan itu berlari laju meninggalkan saingan mereka untuk berada dalam kelompok empat terbaik pilihan juri profesional dan penonton.

Siapa bakal juara pertama Gang Starz yang menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai AS$100,000 (RM340,000) serta kontrak rakaman? Ikuti temu bual bersama finalis Gang Starz.

Siaran langsung Gang Starz juga dapat diikuti penonton Indonesia dalam siaran tertunda menerusi saluran Televisi Penting Indonesia (TPI).

The Lima:

DIANGGOTAI tiga anak muda dari Indonesia - C Taufani Rahadian (Taura), Bony Adam (Bony) dan Arif Topan Sanjaya (Arif), kumpulan yang membentuk The Lima ini dari awal lagi berjaya meyakinkan umum mereka layak untuk berada di gelanggang akhir.

Sejak cabaran Gang Starz bermula, The Lima memberikan persembahan yang cukup mantap, malah keampuhan vokal mereka juga dikagumi hingga juri profesional kerap memberi lima bintang setiap kali selesai mengadakan persembahan.

Bagaimanapun, keyakinan yang berputik itu mula goyah apabila prestasi persembahan mereka mula menurun. Kedudukan The Lima sedikit tergugat apabila gagal tampil bertenaga sebagaimana kemunculan mereka pada permulaan Gang Starz.

“Konsert final ini adalah peluang untuk kami menebus kembali kepercayaan juri dan pengundi yang selama ini meletak harapan yang cukup tinggi kepada The Lima.

“Kami tidak mahu terus selesa dengan hanya satu konsep, sebaliknya cuba mempelbagaikan bentuk persembahan supaya penonton tidak jemu melihat kami.

“Namun formula yang menjadi acuan persembahan terbaru kami itu ada kalanya tidak diterima. Justeru, ia mencabar kami untuk mencari konsep baru yang bukan saja menghiburkan namun diterima umum. Itu yang paling sulit,” kata Arif mewakili dua rakannya.

Katanya, biarpun mereka dihadapkan dengan pelbagai dugaan malah paling mencabar isu patriotisme kerap dijadikan bahan di media namun mereka langsung tidak patah semangat.

Berada di bumi asing, bekalan mereka hanya semangat serta bakat untuk dikongsi bersama pencinta muzik nusantara tanpa sedikit pun menyimpan niat memandang rendah kepada keupayaan peserta Malaysia.

Di pentas mereka adalah ‘musuh’, namun apabila di luar mereka umpama sebuah keluarga besar yang sering menghulur tangan untuk membantu apabila diperlukan.

“Kami sangat menghargai apabila peminat di Malaysia menghargai bakat serta mendokong perjalanan kami di Gang Starz. Lebih membuat kami terharu apabila mereka menyokong perjuangan The Lima malah turut sama mendoakan kejayaan kami.

“Kami datang untuk membahagiakan peminat muzik di sini, di samping berkongsi apa yang dimiliki. Pada masa sama kami juga belajar dan bersyukur kerana berhasil memberikan nuansa baru kepada muzik Melayu.

“Kami bukan yang terbaik namun kami berusaha untuk memberikan yang terbaik dan malam final menjadi detik penentu kepada segala usaha selama ini,” kata Taura.

Mendua:

AGAK kurang diberi perhatian pada permulaan Gang Starz, Mendua perlahan-lahan membina reputasi yang meyakinkan. Nama mereka semakin kukuh apabila prestasi persembahan The Lima mula merosot.

Sesuatu yang wajar diberi pujian kepada kumpulan yang dianggotai Hendra Purnanto (Pungky), Marisha Friska Halauwet (Sasha) dan Diana Puspitasari (Diana) adalah keberanian mereka untuk mencuba pelbagai irama ketika persembahan.

Biarpun pernah dikritik teruk terutama apabila membabitkan soal kostum, prestasi vokal Mendua jarang sekali dipertikai. Ketika Gang Starz mendekati kemuncak, Mendua dilihat semakin memberi cabaran untuk muncul sebagai juara.

Mampukah mereka?

“Tuntutan di Gang Starz terlalu besar dan selepas empat bulan, perjalanan itu menjadi semakin sulit. Mental harus kuat kerana kami menanggung rindu yang cukup sarat kerana berjauhan dengan keluarga.

“Paling menyukarkan adalah memilih lagu yang bersesuaian. Bukan saja iramanya enak tetapi ia juga popular dan mampu menarik perhatian masyarakat di sini.

“Ia cukup sulit kerana kami harus mengkaji selera peminat di sini. Namun, alhamdulillah apabila tenaga pengajar banyak memberi tunjuk ajar dan membantu kami supaya tidak tersasar dalam membuat pemilihan,” kata Sasha.

Mengakui semakin Gang Starz mendekati kemuncak, debaran mereka bertambah kencang. Namun Mendua menaruh harapan persembahan mereka dapat memberikan kepuasan malah menghasilkan sesuatu yang kreatif untuk dikongsi bersama peminat di sini.

Akur bebanan mendekati final terbawa-bawa hingga dalam tidur, Mendua mengakui tanggungjawab besar kini tergalas di bahu mereka.

“Apabila sudah berada pada tahap ini, harapan khalayak terhadap kami semua lebih tinggi. Justeru, kami menetapkan standard serta sasaran persembahan dan nyata ia tidak semudah yang disangkakan.

“Banyak faktor yang harus diambil kira dan kami harus pantas belajar supaya persembahan pada malam final nanti lebih kompak dan tersusun,” kata Diana.

Flava:

PERNAH hampir tersingkir apabila berada pada kedudukan tiga terbawah, malah saban minggu mereka menjadi sasaran kritikan terutama imej mereka yang bercelaru, Flava membuktikan mereka punya lebih daripada itu.

Permulaan Gang Starz Flava cenderung memilih lagu ‘selamat’ atau menepati cita rasa mereka, namun ketika persaingan Gang Starz mendekati kemuncak, mereka seperti baru dilahirkan.

Bintang Flava mula menyinar terang. Mereka juga semakin berani menyusur arus perubahan. Lihat saja perubahan kepada gaya mereka berpakaian, Flava hari ini jauh berbeza dengan Flava yang dikenali empat bulan lalu.

Mereka matang mengejar perubahan namun mampukah Flava menangkis ‘serangan’ dua kumpulan Indonesia yang cukup konsisten sepanjang pertandingan berlangsung?

“Sukar untuk dipercayai Flava mampu melangkah ke final, namun berkat usaha dan memberikan persembahan yang sehabis baik kami berjaya untuk berada dalam kelompok empat terbaik.

“Kami akur ketika ini perhatian penonton lebih berpihak kepada peserta Indonesia. Namun, itu tidak bermakna kumpulan tempatan tidak mampu bersaing dengan mereka.

“Apa yang penting ketika ini ialah berusaha untuk berada sama tinggi dengan kumpulan lain. Sesuatu yang kami belajar sepanjang Gang Starz ialah untuk menjadi lebih baik kami harus berani memberikan sesuatu yang baru,” kata ketua kumpulan itu, Mohd Shahdan Salleh.

Flava yang turut dianggotai Arif Asyraf Mohammed Khalim, Mohd Farouk Abd Razak, Shafiq Hasif Abdul Jalil dan Nasnoor Zulfadhli Mohd Nasiruddin ialah kumpulan tempatan tunggal yang layak ke final sebelum Infinatez terpilih menerusi pusingan wild card.

Jika dulu mereka terlalu terikat dengan imej nasyid hingga tidak berani mencuba sesuatu yang baru dan berbeza, tetapi hari ini Flava semakin bergaya.

Pun begitu, kumpulan ini masih berpegang kepada janji mereka untuk tidak hanyut serta lalai dengan janji manis yang ditabur oleh dunia yang penuh glamour itu.

“Kami percaya usaha penting untuk berjaya dan kami sendiri sanggup melakukan apa saja untuk mengharumkan nama negara. Namun, kami sentiasa sematkan dalam diri supaya tidak sesekali melupakan Allah.

“Jaga hati serta kelakuan dan kami percaya keikhlasan yang ditampilkan Flava dalam setiap persembahan memberi kekuatan kepada kami untuk terus bertahan hingga ke final,” katanya.

Infinatez:

PADA permulaan, Infinatez dilihat sebagai antara peserta dari Malaysia yang bakal memberi saingan kepada kumpulan vokal dari Indonesia.

Juri profesional, Maple Loo melihat Infinatez sebagai sebuah kumpulan yang mempunyai vokal harmoni yang sangat baik. Namun, disebabkan salah percaturan serta pemilihan lagu yang kurang bersesuaian, nama Infinatez mula terhakis daripada senarai kumpulan pilihan peminat.

Infinatez yang dianggotai Danial Mohd Hashim, 24, Alvin Mahathir Yunus, 26, Mohd Rafiq Mohd Talib, 23, Andy Merican, 24 dan Muhammad Yassir Shah Abdul Aziz, 22 akhirnya mengakhiri perjuangan mereka pada episod ke-12.

Namun, kejutan yang diberikan penganjur apabila tujuh peserta tersingkir diberi peluang kedua untuk bersaing pada pusingan wild card, Infinatez nyata tidak mempersiakan kesempatan berharga itu.

“Kami bertuah kerana terpilih ke final dan dapat bersaing dengan semua 13 kumpulan yang mempunyai bakat serta keistimewaan tersendiri dalam program ini,” kata Andy.

Mahu bangkit daripada kesilapan lalu kerana lebih menumpukan kepada koreografi persembahan berbanding vokal, Infinatez kini tampil lebih santai namun bersemangat. Itu yang cuba diterapkan pada malam final nanti.

Biarpun masa latihan untuk mereka lebih singkat berbanding tiga finalis lain, Infinatez percaya kepada pengurusan masa untuk merangka bentuk persembahan pada malam final nanti.

“Pengurusan masa yang betul adalah kunci kepada kejayaan. Biarpun terikat dengan pelbagai komitmen menjelang pertandingan akhir, kami tetap akan mencuri masa untuk membuat persiapan ke final.

“Apatah lagi, pertandingan ini membabitkan nama negara. Kami perlu serius kerana tidak mahu menghampakan mereka yang memberi kepercayaan hingga Infinatez mampu melangkah ke final.

“Insya-Allah berkat doa semua dan kekuatan semangat ada, Infinatez akan cuba memberikan yang terbaik untuk membantu menjulang nama negara. Doakan kejayaan kami,” katanya.

Turut berdepan dengan dilema yang dilalui The Lima dan Mendua terutama dalam pemilihan lagu, Infinatez cuma berharap lagu yang bakal dipersembahkan memenuhi cita rasa peminat serta bersesuaian dengan karektor vokal mereka.

Pastinya, malam final itu juga menjadi detik penting untuk mereka memberitahu kepada umum siapa Infinatez yang sebenar, hasil kematangan selepas hampir empat bulan berjuang dalam Gang Starz.

Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe

Tiada ulasan