Wednesday, October 15, 2008

10:16 AM


KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Raffi Hussain (gambar) atau nama sebenarnya Mohd Rofi Che Hussain, meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di rumah ibunya di Batu Caves dekat sini, petang semalam.

Lebih menyedihkan Raffi yang pernah membintangi filem Azura pada 1980-an dan sedang menguruskan pinjaman Perbadanan Filem Nasional (Finas) bagi menerbitkan filem The Chini, menghembuskan nafas terakhir ketika keluarganya membuat persediaan menyambut ulang tahun yang ke-49, hari ini.


Isterinya, Zaiinuni Mohd Ramly, 34, pula sarat mengandung tujuh bulan anak kelima mereka.

Allahyarham yang tinggal di Taman Pelangi Jaya, Sentul, dikatakan sesak nafas dan rebah ketika berada di rumah ibunya kira-kira jam 5 petang semalam, sebelum dibawa ke Hospital Selayang.

Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan hospital itu kira-kira dua jam kemudian.

Selain isteri, Allahyarham turut meninggalkan empat anak iaitu Mohd Warith Iqbal Putra, 6; Mohd Razafiq Putra, 11; Puteri Ratna Sari, 14 dan Mohd Indraputra, 15, yang sedang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Zaiinuni yang ditemui di hospital berkata, Allahyarham ke rumah ibunya selepas selesai bertemu pihak bank untuk berunding soal pinjaman bagi menerbitkan filem The Chini oleh syarikatnya, Raffi Hussain Corporation.

Beliau berkata, suaminya dan seorang lagi anggota keluarga terdekat sudah merancang menyambut ulang tahun kelahiran mereka bersama yang sepatutnya diraikan di Kajang, hari ini.

“Allahyarham pergi sendirian ke rumah ibunya dan ketika berada di sana beliau mengalami sesak nafas, jatuh dan tubuhnya menjadi kebiruan,” katanya.




Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe suscribe

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin