Header Ads

TERKINI

Siti Sarah Putus Tunang


Percintaan jarak jauh tak sampai ke jinjang pelamin
www.bharian.com.my

SUDAH ketentuan Ilahi, jodoh Siti Sarah Raisuddin, 24, dan pelumba motosikal kelahiran New Zealand, Muhamad Harith Fuad Robinson, 25, tidak sampai ke jinjang pelamin. Sarah dan Fuad yang mengikat tali pertunangan pada Januari 2007 sudah pun membawa haluan masing-masing dalam erti kata lain, ikatan tali pertunangan mereka sudah terlerai sejak dua bulan lalu.

Usah ditanya kenapa dan mengapa? Bukan punca daripada kehadiran orang ketiga atau sesuatu yang melukai sebaliknya sudah suratan takdir, jodoh dan pertemuan Sarah dan Fuad terhenti di situ. Malah mereka meleraikan ikatan pertunangan dengan persetujuan kedua-dua pihak.



Dengan nada perlahan, gadis genit itu akui: "Sudah dua bulan berlalu, saya sudah pun melupakannya. Tiada perbalahan besar, tiada juga pembabitan orang ketiga dalam perhubungan kami. Cuma di kala saya tersepit dalam pelbagai kontroversi yang menghiris hati, saya fikirlah eloklah saya melepaskan sesuatu yang membebankan.


"Dunia kami jauh berbeza. Saya di Kuala Lumpur, Fuad pula di Pulau Pinang membuatkan kami terpisah jauh. Dalam tempoh beberapa bulan, hanya sekali dua kami dapat bertemu apatah lagi dapat meluangkan masa bersama seperti pasangan lain. Ketika saya sibuk pada hujung minggu, hanya itu masa yang Fuad terluang, jadi kami tak dapat bertemu.

"Di kala saya tersepit dengan kontroversi yang menghimpit diri, Fuad tiada di sisi. Saya faham dengan kerjayanya sebagai pelumba motosikal, sering sibuk dengan latihan atau perlumbaan, tetapi tiada guna saya meneruskan ikatan ini sekiranya saya rasa seperti hidup sendiri, tiada sesiapa di sisi."

Akui Sarah, walaupun Fuad tak pernah melupakan tanggungjawab sebagai tunang dan menghubunginya setiap hari, tetapi apa akan jadi apabila mendirikan rumah tangga nanti. Seorang di utara, seorang lagi di barat. Dan komitmen kerja membuatkan mereka terfikir tiada guna meneruskan ikatan begini.

"Paling buat saya rasa tertekan apabila Fuad perlu berhijrah ke Eropah demi meneruskan perjuangannya dalam dunia perlumbaan motosikal. Jadi bagaimana dengan diri saya, jika saya berkahwin dengannya, mahu atau tidak saya perlu mengikutnya. Apa akan jadi dengan kerjaya dan keluarga saya?

"Semua orang tahu saya bekerja untuk membantu meringankan keluarga dan sebagai anak, saya tak sanggup berjauhan dengan mereka. Saya juga tidak sanggup korbankan kerjaya kerana bukan mudah untuk saya mendaki tangga hingga ke tahap hari ini," katanya dengan jujur.

Jauh di sudut hatinya, Sarah akui cukup berat buatnya membuat keputusan apatah lagi masih menyayangi bekas tunangannya itu tetapi demi kebaikan, mereka terpaksa akur dengan situasi yang menekan.

"Walaupun sudah tiada ikatan, kami tetap berkawan baik malah Fuad masih menghubungi saya bertanya khabar. Kami reda dengan perpisahan ini dan sekiranya ada jodoh, saya tak menolak untuk kembali kepada Fuad, tetapi biarlah saya tidak terpisah jauh dengan keluarga dan kerjaya," katanya.

Tertekan dengan kontroversi

BERLAGAK diva, demand dan tidak berdisiplin dikaitkan dengan Sarah sejak akhir-akhir ini. Peri kelakuan Sarah menjadi bualan hangat hingga penyanyi lagu Kesetiaan itu tertekan dengan situasi yang menghimpit dirinya. Namun Sarah juga manusia biasa, tidak lepas melakukan kesilapan.

Secara jujur, Sarah akui dirinya melakukan kesilapan besar apabila mengambil seorang pengurus. Tak perlulah dijelaskan siapakah pengurus itu. Semuanya berlaku gara-gara pengurusnya itu tidak tahu menguruskan kerjanya hingga menyusahkan orang lain. Dan mangsanya adalah Sarah.

"Atas dasar percaya saya mengambilnya sebagai pengurus. Saya silap, seorang jurusolek nyata tak boleh bekerja sebagai pengurus yang baik. Dia tidak mengendalikan kerja dengan baik sehingga akhirnya saya menjadi mangsa dan terpaksa berdepan krisis dengan wartawan dan rakan artis kerana salah faham.

"Ketika seminggu lalu final One In A Million (OIAM), pengurus berkenaan menandatangani perjanjian satu undangan persembahan anjuran sebuah akhbar di Johor Bahru sedangkan dia tahu, saya dilarang sama sekali memenuhi undangan nyanyian ketika dalam OIAM, apatah lagi final sudah dekat.

"Masa saya terhad, oleh kerana sudah berjanji, mahu atau tidak, saya terpaksa juga memenuhi undangan itu. Bagaimanapun, nak jadikan cerita, kereta saya rosak ketika dalam perjalanan dan saya hanya boleh sampai awal pagi. Jadi saya terpaksalah membatalkannya. Sebagai pengurus, sepatutnya dia menjelaskan perkara yang sebenar pada penganjur tetapi dia mereka cerita mengatakan saya tak mahu pergi.

"Kalau saya tak mahu pergi, takkan saya mengikutnya dan perjalanan kami sudah sampai di Melaka ketika itu. Selang beberapa hari, terpampang keluar cerita saya tiada disiplin. Dan sejak itu, bagai berturutan cerita saya bermasalah, berlagak dan macam-macam lagi hingga saya tak sanggup nak mendengarnya. Yang peliknya, siapa lagi yang menyampai cerita bukan-bukan kalau bukan dia yang dekat dengan saya," katanya.

Sarah berkata, dia sudah memberhentikan pengurus berkenaan dan kini sudah memiliki pengurus lain yang lebih bertanggungjawab. Namun bekas pengurusnya itu tak berpuas hati dan menjaja pelbagai ceritanya hingga kisah 'dalam kain' turut disebarkan kepada wartawan.

"Saya rasa bersalah pada penganjur, saya malu dan takut mahu berhadapan dengan wartawan yang menguruskan persembahan itu. Saya tak pernah melalui perkara seumpama ini, saya lost. Saya rasa satu dunia membenci saya hingga apabila tercetusnya konflik itu, saya malu nak keluar rumah menemui sesiapa.

"Memang saya biarkan perkara itu terlalu lama terjadi dan kini, saya baru berani tampil buat kenyataan, saya tak ada kekuatan ketika itu," katanya.

Profil Siti Sarah

Nama: Siti Sarah Raisuddin Hamzah

Umur: 24 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Tarikh Lahir: 15 September 1984

Kerjaya: Penyanyi

Album: Kesetiaan, Mimpi Pun Sama & Tiada Dikau Tiada Makna

Pencapaian: Juara Bintang URTV (2001), Anugerah Album Terbaik, Album Pop Terbaik dan Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik Malaysia 2003 (AIM2003)





Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe

No comments