Header Ads

TERKINI

Pelakon Veteran Hussein Abu Hassan Meninggal Dunia


Masa tengah2 layari website bernama, ternampak kat bahagian Am, pelakon veteran yang juga ayah kepada pelakon Faizal Hussein, Hussein Abu Hassan. Alfatihah untuk arwah dan semoga rohnya dicucuri rahmat..amin


Pelakon Dan Pengarah Veteran Hussein Abu Hassan Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pelakon dan pengarah veteran terkenal, Hussein Abu Hassan, 70, meninggal dunia awal hari ini di Hospital Kuala Lumpur kerana penyakit buah pinggang dan beberapa komplikasi penyakit lain.

Anak bongsunya yang juga pelakon terkenal, Faizal berkata beliau menerima panggilan daripada pihak hospital pukul 5.30 pagi ini yang memaklumkan bapanya berada dalam keadaan kritikal.

"Ketika saya dan semua ahli keluarga tiba di hospital kira-kira pukul 6.15 pagi, doktor sedang memberikan bantuan CPR (penafasan) kerana jantung bapa telah terhenti sejak pukul 5.30 pagi lagi," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata apabila bapanya disahkan meninggal dunia, semua ahli keluarga termasuk ibunya, pelakon Mahyon Ismail berada di sisi arwah.

Jenazah bapanya dibawa balik ke rumah mereka di Taman Gombak Setia untuk dimandi dan dikapankan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Taman Ibu Kota, Setapak selepas Zuhur ini, katanya.

Faizal berkata pada malam tadi, beliau bersama isterinya, Suhaila Sulaiman serta anak sulung mereka pergi melawat Hussein di hospital, dan arwah kelihatan ceria serta boleh bergurau dengan cucunya itu.

"Saya memang terkejut apabila dimaklumkan pihak hospital awal pagi ini sebab ketika kami melawatnya malam tadi, arwah boleh duduk dan kelihatan ceria walaupun sukar untuk bercakap sebab dia demam dan tekaknya berdarah," katanya.

Beliau berkata bapanya yang menghidap penyakit buah pinggang sejak tujuh tahun lalu, turut menghidap penyakit jantung dan paru-paru berair serta sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

Hussein yang dilahirkan pada 1937 di Alor Gajah, Melaka meninggalkan seorang isteri dan tiga anak serta empat cucu.

Selain Faizal, dua lagi anaknya iaitu Dilla, yang merupakan penulis skrip drama dan Fairuz, penyanyi R&B terkenal.

Allahyarham yang memulakan kariernya dengan pasukan polis pada tahun 50-an, telah bertukar angin dengan mula menceburi bidang lakonan sebagai pelakon tambahan dalam filem Sri Mersing pada tahun 1961.

Antara filem yang menjadi lakonannya termasuk Tun Teja, Fajar Menyinsing, Air Mata Duyung, Laksamana Do Re Mi, Kanta Serigala, Boss, Kembar Siam dan Panglima Badul.

Allahyarham turut berlakon dalam filem luar negara seperti filem Hong Hong "Muah", filem Filipina "International Trades" dan "Crazy Pikoy Goes To Malaysia" serta filem Australia "Bailey Big Deal."

Mulai tahun 1975, beliau mula berjinak-jinak sebagai pengarah filem dengan filem pertamanya "Bunga Padi Berdaun Lalang" diikuti "Panglima Badul," "Senja Merah," "Gila-Gila Remaja," "Kanta Serigala" dan "Bujang Selamat."

Jasanya di dalam bidang seni mendapat penghargaan dengan pengurniaan bintang Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1997.

-- BERNAMA



Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe suscribe


Tiada ulasan