Header Ads

TERKINI

Ahmad Idham dapat habuan Mercedes

Orang kata kalau rezeki tuhan nak beri. Tahniah diucapkan kepada ahmad idham berkat kerja keras dia selama ini. Wah melaram dengan kereta free sure best giler







David Teo hadiah Mercedes Benz kepada Idham
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
www.mstar.com.my

METROWEALTH International Group (MIG) meraikan 'orang kuat' yang menjayakan filem "Jangan Pandang Belakang (JPB)" setelah memperolehi kutipan tertinggi box-office iaitu sebanyak RM7.5 juta di Hotel One World, Bandar Utama dengan memberi anugerah penghargaan kepada mereka yang terlibat semalam.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIG David Teo turut menyediakan anugerah khidmat cemerlang kepada staf-staf MIG dan tidak lupa kepada wartawan media cetak dan elektronik sebagai tanda terima kasih di atas sokongan yang diberikan kepada MIG.

Salah seorang penerima anugerah yang paling istimewa mendapat kejutan berupa kereta Mercedes E200K dengan nombor pendaftaran 999 dan beliau merupakan Pengarah filem tersebut Ahmad Idham Ahmad Nadzri.




"Apabila saya melangkah ke MIG, tak pernah terlintas pun untuk mendapat anugerah sebegini apabila berjaya. Saya memang dimaklumkan mendapat bayaran sebagai seorang pengarah. Macam filem "Remp-it" sebelum ni pun saya ada dapat bonus.

"Kalau seperti ini, saya perlu melihat pandangan yang lebih jauh lagi kerana sebelum ini bukan saya tak pernah mencuba. Contohnya filem "Tentang Bulan" tak berjaya sangat jadi saya cuba lagi dan terus mencuba.

"Bekerja dengan David secara peribadi boleh dikatakan beliau cuba menghasilkan sesuatu berdasarkan sikap berpasukan. Apabila bekerja dengan MIG beliau akan majukan orang sekeliling seperti konsep yang diterapkan dalam pembikinan filem.

"Kejayaan JPB memberi pulangan balik. Berbaloi dengan cara kami melupakan segala gangguan hantu dan cabaran lain yang dilalui sebelum ini.

"Kita cuba mewujudkan yang diluar sana kita akan kerja bukan sebab imbuhan tetapi kerja yang terbaik," terang Idham.

Menurut Idham dia tak kisah kalau diberi gelaran "anak emas" MIG selepas ini kerana sudah lali dengan gelaran yang pernah diterima di Kuasatek Pictures Sdn. Bhd. dulu.

"Dulu semasa saya bekerja dengan Kuasatek pun orang cakap macam ni juga. Saya dah khatam buat drama di Kuasatek. Sekarang saya nak belajar buat filem di MIG pula. Terpulanglah orang nak kata saya "anak emas" atau "anak tembaga".

"Kenapa saya tak pergi kat orang lain? Sebab saya nak tingkatkan kemahiran diri dan belajar lagi mana tahu suatu hari nanti saya akan jadi macam MIG," ulas pelakon berusia 36 tahun ini.

Pada malam itu, bonus bernilai RM1 juta juga telah diperuntukkan kepada semua pelakon dan krew yang terlibat di dalam produksi filem JPB.

Selepas kejayaan JPB, Idham semakin yakin untuk membuat filem bergenre seram itu buat kedua kalinya melalui filem "Congkak" yang menampilkan pelakon Riezman Khuzaimi dan Nanu Baharudin.

"Filem "Congkak" merupakan filem seram yang mengikut kehendak saya. Saya perbaiki kelemahan yang ada dalam filem JPB dengan menerapkan sifat kekeluargaan dalam Congkak. Saya hendak ia jangan bawah dari JPB dan cuba memberi yang lebih seram," kata Idham.

Apakah perancangan Idham seterusnya?

"Selepas ini saya akan terus mengarah filem dan mencuba genre-genre yang lain seperti aksi kepolisan. Saya juga akan meningkatkan filem yang dihasilkan secara berperingkat," kata Idham yang sedang sibuk dengan pengambaran drama "Impak Maksima The Series" yang dijangka berakhir pada hujung tahun ini dan bakal menemui penonton TV3 bermula hujung bulan Februari atau Mac depan.


Dalam pada itu, Pelakon dan Penulis Skrip JPB Pierre Andre yang juga menerima anugerah berupa cek bernilai RM25 ribu buat pertama kalinya tidak pernah mengharap mendapat apa-apa sebagai penghargaan.

"Saya tak pernah harap apa-apa dan menganggap ini sebagai rezeki saya. Saya tak peduli kalau orang lain tak hargai asalkan majikan hargai.

"Rasa puas hati juga bekerja dengan MIG kerana David merupakan partner yang baik dan saya puas berkarya dengannya. Saya banyak belajar membuat filem dan perniagaan. Dia juga merupakan seorang mentor yang baik.

"Selepas ini saya merancang untuk menghasilkan lebih banyak karya yang lebih baik dan meningkatkan mutu karya berbanding sebelum ini.


"Dengan anugerah yang saya dapat malam ni, saya merancang untuk membuka perniagaan secara kecil-kecilan dan berkongsi dengan keluarga kerana kejayaan ini datang daripada ibu bapa yang saya anggap sebagai rezeki kami bersama," akhiri Pierre yang bangga dengan filem pertama arahannya 9 September yang berjaya mengutip sebanyak RM1.3 juta setakat ini.

Pada majlis yang berkonsepkan ala-festival itu, anugerah khas juga diberikan kepada empat lagi individu atas khidmat cemerlang mereka kepada syarikat tersebut.

Penghargaan yang diberikan oleh David bukan calang-calang kerana hadiah yang yang disampaikan kepada mereka cukup lumayan.


David menghadiahkan pakej menunaikan haji kepada staf MIG iaitu NorAzlina Mohd Som, sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Seri Puchong kepada Ketua Bahagian Promosi Metrowealth, Azahari Abdul Hamid, sebuah kereta Mercedes Benz E200 kepada Brian Ng, dan Ketua Pengurus Operasi Restoran Lemon dan Metrowealth Cinema, Tong Lian Soon yang menerima sebuah kereta Mercedes Benz E200 K.

Majlis gilang-gemilang itu telah dihadiri oleh lebih 1000 tetamu yang terdiri daripada artis-artis, karyawan filem dan tetamu daripaad pelbagai bidang berkaitan industri hiburan.

Antara artis yang hadir memeriahkan majlis itu ialah Datuk Aziz Sattar, Datuk Jalaluddin Hassan, Fasha Sandha, Hans Isaac, Linda Rafar, Syed Aiman, Nanu Baharuddin, Farid Kamil, Dynas, Irma Hasmie, Ogy Ahmad Daud, Fatimah Abu Bakar, Sharifah Amani, Sharifah Aleya dan Awal Ashaari.

Hadir sama adalah bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Tan Sri Jins Shamsudin.



Jika anda ingin mendapatkan gambar - gambar terbaru artis Malaysia, indonesia, berita artis dan gossip artis terkini, daftarkan diri anda secara percuma. klik subscribe suscribe


Tiada ulasan