Header Ads

TERKINI

Ajai dan Nurul kini sah bercerai talak satu



Pasangan penyanyi 'Serasi Bersama' kini bercerai

PETALING JAYA: Pasangan penyanyi yang popular dengan lagu "Serasi Bersama", Nurul dan Ajai, meneruskan niat untuk bercerai walaupun dua minit sebelum itu Mahkamah Rendah Syariah di sini memutuskan bahawa mereka masih sah sebagai suami isteri.

Nurul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 29, membuat permohonan itu hari ini sebaik sahaja hakim syarie Ghazali Ahmad selesai membacakan keputusan bahawa dua talak yang didakwa Nurul berlaku pada 30 Ogos dan 1 Nov tahun lepas adalah tidak sah.

Ajai atau Mohd Faizal Maas, 31, melalui peguam syarie Zulkifli Che Yong turut menyatakan kesediaan untuk bercerai dan mereka telahpun menandatangani perjanjian penyelesaian pada 8 Nov tahun lepas.

Setelah Ajai melafazkan cerai talak satu terhadap Nurul, mahkamah memerintahkan supaya beliau membayar nafkah edah sebanyak RM1,200 sebulan (selama tiga bulan) dan menanggung perbelanjaan anaknya Ayu Nazirah, 10, serta membayar kos untuk Nurul mengerjakan umrah pada bila-bila masa sebanyak RM6,000.

Ajai dan Nurul yang mendirikan rumahtangga pada 25 Dis 1996, kelihatan bersedia dengan perceraian itu dan tenang dengan setiap keputusan hakim. Mereka juga bersalaman selepas prosiding.

Terdahulu, Ghazali berkata lafaz pada 30 Ogos tahun lepas yang didakwa berlaku ketika Ajai dan Nurul berada dalam penerbangan ke Kota Kinabalu, Sabah, adalah tidak sah kerana tidak ada saksi.

Ghazali kemudiannya meminta Ajai membuat penafian secara bersumpah, yang merupakan sumpah kedua Ajai selepas mahkamah mendapati lafaz pertama yang didakwa berlaku pada 2001 juga tidak mempunyai saksi.

Lafaz ketiga pula yang dikatakan berlaku menerusi panggilan telefon melalui kakak angkat Nurul, Habishah Bahari, 39, pada 11 Sept tahun lepas juga tidak sah kerana semasa perbicaraan Ajai menafikan bahawa dia berniat untuk menceraikan Nurul pada ketika itu.

Ghazali berkata lafaz itu lebih berbentuk ta'liq dan ia tidak dizahirkan.

Pada ketika itu, Ajai melafazkan "sudahlah Kak Shah kalau itu yang dia (Nurul) nak, saya lepaskan dia."

Nurul yang diwakili peguam syarie Saadiah Din mengemukakan permohonan pengesahan lafaz cerai pada 1 Nov tahun lepas.

Sementara itu, di luar mahkamah Nurul berkata walaupun ikatan suami isteri bersama Ajai telahpun berakhir, mereka masih berkawan dan mempunyai hubungan yang baik.

Mengenai syarikat rakaman yang mereka pernah tubuhkan, Nurul berkata dia menjual sahamnya kepada Ajai tahun lepas.

Ajai yang juga seorang komposer turut memberitahu bahawa kes perceraiannya selesai hasil perbincangan secara baik antara kedua-dua pihak. BERNAMA

2 ulasan

Tanpa Nama berkata...

Ya ya... sah

Tanpa Nama berkata...

siapa yang salah sebenarnya...?